HASREENA BINTI HASHIM. Program Pembangunan Profesional INTAN; 2013. Kajian Persepsi Pelanggan Terhadap Tahap Kebersihan Premis Makanan Di Bandar Sri Permaisuri.
Kajian ini merupakan satu tinjauan untuk mengetahui persepsi pelanggan terhadap tahap kebersihan premis di Bandar Sri Permaisuri. Terdapat lima aspek yang dikaji merangkumi (i) kebersihan makanan (ii) kebersihan dan keselamatan persekitaran (iii) amalan dan perilaku pekerja (iv) kebersihan peralatan dan (v) lain-lain aspek merangkumi penguatkuasaan. Satu set soal selidik digunakan untuk mendapatkan maklumat bagi menentukan persepsi pelajar terhadap tahap kebersihan premis di Bandar Sri Permaisuri. Kajian rintis telah dijalankan kepada 30 orang awam sebagai responden dan dapatan menunjukkan nilai alpha Cronbach yang diperolehi adalah 0.907. Set soal selidik ini boleh digunakan dalam kajian sebenar kerana menunjukkan kebolehpercayaan yang tinggi. Kajian deskriptif ini dijalankan di sekitar Bandar Tun Razak yang melibatkan 384 responden pelbagai latar belakang. Data dianalisis dengan menggunakan perisian Statistical Package for Social Sciences (SPSS) versi 16.0 For Window dan juga secara manual untuk mendapatkan frekuensi, min dan peratusan. Hasil kajian menunjukkan 37% menyatakan langkah kawalan makhluk perosak tidak dijalankan di premis makanan yang dikunjungi, 40% menyatakan tidak kesemua premis yang dikunjungi adalah bersih dan 52% tidak selesa menggunakan tandas di premis makanan manakala 44% menyatakan pengendali makanan tidak memakai penutup kepala semasa mengendalikan makanan. Kesimpulan daripada analisis data mendapati bahawa majoriti pelanggan berpuashati terhadap tahap kebersihan premis makanan di Bandar Sri Permaisuri. Walau bagaimanapun masih ada beberapa aspek yang perlu dititikberatkan oleh pengusaha makanan, pihak DBKL dan juga pelanggan demi memastikan persekitaran premis dan makanan yang bersih dan sihat
Description
Dengan Kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur