Wong Chia Luke. Program Pembangunan Profesional; 2013. PENGURUSAN LALU LINTAS DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR : MENGKAJI FAKTOR UTAMA KESESAKAN LALU LINTAS DI JALAN SULTAN ISMAIL KUALA LUMPUR PADA WAKTU PUNCAK.
PENGURUSAN LALU LINTAS DI WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR : MENGKAJI FAKTOR UTAMA KESESAKAN LALU LINTAS DI JALAN SULTAN ISMAIL KUALA LUMPUR PADA WAKTU PUNCAK
Kami, sebagai peserta Diploma Pengurusan Awam (DPA) telah diberikan tugasan untuk menjalani Modul Kajian Lapangan selama tempoh dua minggu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya mulai 18 Mac 2013 sehingga 29 Mac 2013. Tujuan modul ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta dalam menjalankan penyelidikan secara berkualiti dan berkesan serta memperoleh dapatan kajian yang tepat. Nilai-nilai murni peserta seperti semangat kerja berpasukan, komited dengan tugasan, kemahiran berdiplomasi serta membina jaringan perhubungan dengan agensi-agensi yang terlibat dapat diwujudkan melalui modul. Selain itu, modul ini juga dapat membentuk sikap bertanggungjawab dan tepat pada masa ke atas semua peserta. Tajuk kajian yang diberikan adalah “Pengurusan Lalu Lintas Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kumpulan kami telah memberi fokus terhadap Masalah Kesesakan Lalu Lintas Di Jalan Sultan Ismail Pada Masa Puncak. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengenalpasti faktor atau punca utama bagi masalah kesesakan yang sering berlaku di Kuala Lumpur, khususnya di Jalan Sultan Ismail pada waktu puncak. Kajian ini juga mengkaji sejauh manakah keberkesanan initiatif-initiatif yang telah dilaksanakan oleh DBKL dalam menyelesaikan masalah ini. Metodologi kajian yang digunakan adalah dalam bentuk kuantitatif dan deskriptif. Hasil dari kajian lapangan ini akan diberikan kepada pihak DBKL agar tindakan penambahbaikan yang diambil pada masa hadapan dapat memberi impak untuk mengurangkan isu tersebut. Isu kesesakan lalu lintas merupakan masalah yang dihadapi oleh kebanyak orang awam, terutamanya bagi mereka yang bekerja di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Isu kesesakan menjadi lebih teruk pada masa puncak iaitu pada waktu bekerja (7 - 9 pagi) dan waktu balik (4 – 7 petang). Keadaan ini boleh dibuktikan di Jalan Sultan Ismail, dimana jalan ini berperanan sebagai jalan perhubung bagi beberapa jalan penting di Kuala Lumpur seperti Jalan Bukit Bintang, Jalan Raja Laut, Jalan Ampang dan sebagainya. Kajian ini turut memberi informasi tentang faktor-faktor yang menyebabkan kesesakan lalu lintas di Jalan Sultan Ismail pada waktu puncak. Faktor yang dikenalpasti adalah berdasarkan pandangan daripada pengguna Jalan Sultan Ismail. Faktor yang telah dikenalpasti termasuklah penggunaan pengangkutan awam, sikap pemandu, penguatkuasaan, pengurusan lalu lintas oleh pihak berkenaan dan sebagainya. Antara lain, kami berjaya mengesahkan bahawa punca utama bagi masalah ini adalah berkaitan dengan penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam. Selain itu, kajian ini turut memberikan hubungkait diantara penca utama dengan item demografik yang telah ditentukan dalam borang soal selidik yang diberikan kepada 150 responden secara rawak. Daripada itu, kajian ini seterusnya memberikan cadangan penambahbaikan terhadap faktor yang telah dikenalpasti agar masalah kesesakan ini dapat dikurangkan secara sempurna dan efektif. Akhirnya, laporan ini akan menghuraikan limitasi yang pengkaji menghadapi sepanjang tempoh kajian ini dijalankan seperti kekangan kewangan, kekurangan masa, sumber-sumber yang boleh dirujuk dan sebagainya. Walau bagaimanapun, data-data yang diberikan dalam laporan ini mempunyai kebolehkepercayaan yang amat tinggi kera kami telah menguji setiap item dengan kaedah Cronbach's Alpha. Kesimpulannya, kajian ini menunjukkan faktor utama yang menyebabkan isu kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Sultan Ismail pada waktu puncak. Beberapa cadangan penambahbaikan yang berdasarkan pandangan daripada responden telah dikemukakan dalam laporan ini agar sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan secara cekap dan efisyen.
Description
Dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur